Pahlawan Sarawak

| |

Pahlawan Melayu Sarawak

Hero Melayu Sarawak
Oleh Micheal Sering


ROSLI Dhoby dihukum gantung sampai mati
pada 2 Mac kerana tikam Gabenor Inggeris

USIANYA ketika itu baru 17 tahun dan menjadi pelatih guru. Namun semangat juang bagi menentang British yang ingin kembali menguasai Sarawak selepas Perang Dunia Kedua cukup mengagumkan.

Rosli Dhoby yang berjuang menuntut kemerdekaan Sarawak daripada Inggeris berakhir ke tali gantung pada 2 Februari 1950, selepas menikam Gabenor Duncan Stewart, di Sibu, pada 3 Disember 1949. Semangat kental yang mahu melihat negeri kelahirannya berkerajaan sendiri masih diingati sehingga kini.


Anak muda yang dilahirkan pada 1932 di Sibu menganggotai Gerakan Pemuda Melayu (GPM) yang ditubuhkan bagi menentang keluarga Brooke yang kalah dalam Perang Dunia Kedua tetapi mahu menyerahkan Sarawak kepada pentadbiran British selepas 1945.

Pengkaji Sejarah Sarawak, Dr Chang Pat Foh, berkata tindakan Rosli Dhoby adalah sebahagian sentimen antipenjajah di kalangan penduduk tempatan yang lahir selepas Perang Dunia Kedua.


"Penduduk tempatan mahu keluarga Brooke (yang memerintah Sarawak dari 1839-1942) menyerahkan Sarawak kepada mereka untuk memerintah sendiri dan bukan menjual Sarawak kepada British dengan harga satu juta pound.

Tindakan Sir Charles Vyner Brooke itu mencetuskan kemarahan penduduk Sarawak yang merasakan negeri mereka menjadi barang dagangan yang boleh dijual beli," katanya pada satu majlis dialog Sejarah Hero Melayu pada Zaman Awal Sarawak, di sini, baru-baru ini.

Tindakan Charles menjual dan menyerahkan Sarawak kepada pentadbiran British pada 1 Julai 1946 mencetus semangat penentangan di kalangan penduduk tempatan terutama golongan cerdik pandai, kakitangan kerajaan dan guru.

Sebelum itu, dua Ahli Parlimen British, D R Rees Williams dan L D Gammans melawat Sarawak pada Mac 1946 untuk mendapatkan pandangan penduduk mengenai isu penyerahan Sarawak sebelum dikemukakan kepada Majlis Negeri untuk kelulusan.

Penduduk tempatan tidak memahami maksud sebenar penyerahan dan isu itu yang kemudian diluluskan selepas berdebat di Majlis Negeri dengan memihak kepada sokongan penyerahan iaitu 19 undi menyokong berbanding 16 undi menentang.

Keputusan itu menyebabkan bermula 1 Julai 1946, British memerintah Sarawak, bagaimanapun, ramai penduduk tempatan tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan.

Guru dan kakitangan kerajaan dari kalangan orang Melayu paling ramai menentang penyerahan termasuk Rosli serta mereka yang menganggap penyerahan itu tidak sah dari segi undang-undang dan sebaliknya menuntut kemerdekaan Sarawak.

Rasa tidak puas hati berterusan terutama di kalangan orang Melayu yang kemudian menubuhkan GPM untuk menentang penjajah.

Atas rasa cintakan tanah air, Rukun 13 yang dianggotai 13 ahli GPM yang turut disertai Rosli mengadakan perjumpaan di Jalan Queensway, Sibu pada 21 Februari 1949 untuk mengusir Gabenor penjajah dan wakil yang lain.

Puncak penentangan GPM tiba selepas Gabenor British kedua, Duncan Stewart yang mentadbir Sarawak membuat lawatan pertama ke Sibu.

Mereka merancang mengambil peluang itu ketika Stewart melawat Sibu pada 3 Disember 1949, tarikh Rosli dipilih untuk menikam Stewart bagi memberikan gambaran kepada Inggeris yang masanya sudah tiba bagi Sarawak untuk merdeka.

Pada jam 9 pagi, ketika penduduk Sibu berkumpul bagi menyambut Stewart dan beberapa pegawai Inggeris yang tiba dalam satu barisan panjang sambil pelajar mengibarkan bendera Inggeris dan Sarawak, Rosli pula bersedia ditengah-tengah orang ramai dengan rakannya Morsidi Sidek yang menyamar sebagai jurugambar.

Kira-kira 9.30 pagi ketika Gabenor bergerak ke arahnya, Rosli terus mengeluarkan badik (senjata tradisi yang disapu racun) dan meluru serta menikam perut, sambil melaungkan perkataan: "keluar dari Sarawak atau kamu mati", pada masa yang sama Morsidi pula menyerang pegawai Inggeris, yang hanya dikenali sebagai Mr Dilks.

Mereka berdua ditangkap polis di tempat kejadian, manakala Stewart yang dalam keadaan kritikal dihantar ke Hospital Lau King Howe Sibu sebelum diterbangkan ke Singapura pada pagi esoknya dan meninggal dunia tujuh hari selepas kejadian.

Pada 15 Disember 1949, Rosli dan Morsidi Sidek serta dua lagi rakan seperjuangan mereka, Awang Ramli Matsaruddin dan Bujang Suntong dihukum gantung sehingga mati di Penjara Pusat Kuching.

Pada awal pagi, 2 Mac 1950, Rosli dan Morsidi Sidek, digantung di Penjara Pusat Kuching, di Jalan Tabuan, Kuching, namun British tidak membenarkan jenazah mereka dibawa keluar dari kawasan penjara.

Tindakan itu kononnya bagi mengelakkan tunjuk perasaan dan bantahan ahli keluarga serta pihak antipenjajahan terhadap hukuman yang dijatuhkan terhadap mereka berdua, sebaliknya dikebumikan di satu sudut pekarangan Penjara Kuching, tanpa sebarang pengenalan pada kubur.

Nasib sama menimpa Awang Rambi dan Bujang Suntong yang dihukum mati pada 23 Mac tahun yang sama turut dikebumikan tanpa nesan.

Pada 1996, Kerajaan Sarawak merasakan adalah tidak wajar untuk wira dan nasionalis berkenaan kekal terpenjara selepas dihukum gantung 46 tahun dulu.

Dengan persetujuan ahli keluarga, kubur Rosli dan tiga rakannya digali semula dan dikebumikan dengan sempurna di tempat kelahiran asal mereka iaitu di Sibu.

Pada 2 Mac 1996, kubur keempat-empat wira itu digali semula dan tinggalan jasad dikeluarkan dan dibaluti dengan bendera Sarawak dengan penuh penghormatan sebagai pahlawan ke Padang Merdeka dan dibawa dengan dua helikopter Nuri ke Sibu yang disambut lebih 2,000 warga Sibu.

Jasad mereka dikebumikan di perkuburan Masjid An Nur pada 2 Mac 1996 iaitu bersamaan tarikh Rosli dijatuhkan hukuman gantung.

Bagi penjajah British, Rosli adalah penjenayah, namun bagi penduduk Malaysia, beliau adalah wira yang berjuang dan menggadai nyawa untuk memerdekakan negeri ini dari cengkaman penjajahan.


Copied in http://malay.cari.com.my/archiver/?tid-294141.html


Rentap

Seorang waris keturunan Panglima Rentap, pejuang kemerdekaan Sarawak yang begitu berani menentang regim Brooke 163 tahun lepas, mahu generasi muda mencontohi semangat patriotisme dan nasionalisme pahlawan Iban itu, terutamanya ketika negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-50 ini.
Sejak dulu lagi, ketika Luyang Bansang, 48, masih di alam remaja, beliau sudah mengetahui menerusi cerita rakyat, yang disampaikan oleh bapanya sendiri mengenai seorang panglima perang orang Iban yang tidak pernah menyerah kalah menentang Rajah Brooke dalam tiga peperangan besar pada 1857, 1858 dan 1861 di Bukit Sadok, Ulu Layar yang kini terletak dalam Bahagian Betong.
Hakikatnya Rentap berjuang dengan berani mempertahankan kawasan dan kaumnya menentang penjajah dan meninggal dunia pada usia tua di sekitar tahun 1870-an di Ulu Wak, Julau, yang kini merupakan sebahagian kawasan Bahagian Sarikei, kira-kira 30 minit dengan berjalan kaki dari rumah panjang kediamannya.
“Walaupun dilabelkan sebagai ketua pemberontak oleh regim Brooke, saya sangat menghormati dan menyanjungi peranannya sebagai pejuang kemerdekaan dan pahlawan yang menggerakkan semangat nasionalisme,” kata Luyang, seorang pegawai penerangan di Jabatan Penerangan Sarawak kepada Bernama di sini.
Beliau berkata Rentap adalah moyangnya dan setiap orang kampung di rumah panjang 26 pintu, Rumah Ujar, mengetahui perjuangannya dengan “Tawak Sadok,” sejenis gong yang digunakan semasa peperangan di Bukit Sadok, yang disimpan sebagai pusaka nenek moyang lima generasi.
Menurut inskripsi peringatan Rentap di Bukit Sibau, Pakan, tapak baru pusara peringatan Rentap yang dibina oleh kerajaan negeri, pejuang kemerdekaan ini dari keturunan Skrang, yang menyertai ekspedisi pelayaran semasa awal kehidupannya mencipta kehebatan sebagai ketua panglima perang.
Apabila James Brooke menjadi Rajah Brooke Sarawak pada 25 Sept 1841, beliau mengisytiharkan pelaut Iban di Saribas dan Skrang sebagai lanun, menyebabkan Rentap menentangnya di Kerangan Peris, Skrang pada Ogos 1844.
Dalam satu petanda awal gerakan anti-Rajah Brooke, bagi Rentap, James Brooke sendiri merupakan seorang lanun yang cuba meluaskan kuasa dan pengaruh serta mengganggu cara hidup tradisional kaum Iban.
Luyang berkata anggota keluarga keturunannya sangat menghargai usaha kerajaan menjadikan puncak Bukit Sibau sebagai “Lumbong Rentap,” yang bermaksud kubur dalam bahasa Iban, bagi memperingati perjuangan Rentap menentang regim Brooke dan kesungguhannya mempertahankan cara hidup tradisional kaum Iban.
Rentap diisytiharkan sebagai seorang pahlawan Sarawak oleh kerajaan negeri pada 27 Julai 1993.
“Sesuatu perlu dilakukan bagi generasi muda mempelajari tentang Rentap, semangat perjuangannya dan cerita mengenai penentangannya terhadap pentadbiran Brooke bagi menyemai semangat patriotisme dalam kalangan mereka,” kata bapa kepada tiga anak.
Sebagai sebahagian daripada warisan sejarah dan kekayaan budaya, Luyang menggesa kerajaan supaya meningkatkan kemudahan termasuk pondok dan trek hutan menuju ke Tugu Peringatan Rentap di puncak Bukit Sadok.
Dari kawasan tinggi inilah panglima hebat dan pengikutnya turun dan melayari Sungai Saribas atau Sungai Ulu Skrang River untuk melancarkan serangan menentang penjajahan Brooke.
Luyang berkata kemudahan yang lebih baik dan penyelenggaran akan memudahkan orang ramai termasuk pelancong dan pelajar melawat tugu bersejarah di puncak Bukit Sadok, dengan replika “Bujang Timpang Berang,” sejenis meriam yang digunakan oleh Rentap dalam peperangannya menentang askar-askar Brooke dibina.
Meriam sebenar kini ditempatkan di Pejabat Daerah Betong, Bukit Bangun, setelah dipindahkan dari Kubu Lily di Betong, di mana sebuah jalan dan dewan komuniti dinamakan sempena nama Rentap.
– Bernama
Copied inhttp://www.mysarawak.org/2007/08/22/contohi-semangat-juang-panglima-rentap-kata-warisnya.html

0 comments:

Post a Comment

.